Jangan biarkan perahu hanyut tak berpenghuni nanti hanyutnya tidak singgah ke pelabuhan

Selasa, Mei 03, 2011

Ulasan Komsas : Novel Tingkatan 1 (Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan)

Asaalamualaikum..


Sinopsis Novel :

Novel Sukar Membawa Tuah mengisahkan kehidupan Adit sebagai seorang anak Orang Asli yang mundur dari segi pelajaran. Kampung Bakai di kaki Bukit Lokan merupakan penempatan masyarakat Orang Asli suku Jahut. Terdapat kira-kira 25 keluarga yang menghuni penempatan ini. Masyarakat Orang di sini masih berpegang kuat pada kepercayaan tradisi dan kurang berhubung dengan dunia luar. Mereka hidup dalam kemiskinan dan rumah yang didiami hanyalah bangsal yang sempit dan daif, sekadar untuk berteduh siang dan malam.

Pak Katan merupakan ketua keluarga yang masih bergantung hidup pada hasil hutan untuk menyara keluarganya. Awal-awal pagi, Pak Katan telah bersedia untuk ke hutan bersama-sama anaknya, Adit. Isterinya, Mak Tawi menyediakan ubi kayu rebus dan air kopi pahit sebagai sarapan dan bekalan mereka ke hutan. Sebelum ke hutan, Adit pergi ke sungai dahulu untuk melihat belat yang dipasang untuk menangkap ikan.

Dalam perjalanan ke hutan, Adit cuba menyatakan hasratnya untu bersekolah demi membela nasib keluarga dan masyarakat Orang Asli. Adit juga menyatakan hasil hutan semakin berkurangan akibat pembalakan. Adit teringat akan cerita kawannya, Akeh yang menyatakan keseronokan bersekolah dan timbul keinginan di hati Adit untuk turut bersekolah. Namun begitu, hasrat Adit ditentang oleh ayahnya dengan alasan Adit perlu meneruskan tradisi keluarga dengan mencari hasil hutan, menyebabkan Adit berasa kecewa dan berdiam diri semasa berada di rumah.

Perubahan Adit disedari oleh ibu bapanya. Akhirnya Pak Katan memahami hasrat anaknya untuk bersekolah lalu pergi ke pekan untuk mendaftarkan persekolahan Adit. Adit diterima oleh pihak sekolah tetapi malangnya Adit tidak dapat tinggal di asrama kerana tiada kekosongan. Adit berasa kecewa lalu pergi ke tebing sungai. Di situ, dia berjumpa dengan Tijah. Tijah berjaya memujuk Adit supaya bersabar.

Suatu malam, ketika hujan lebat, Pak Katan menjumpai seekor rusa dara yang cedera berteduh di bawah bangsal mereka. Pak Katan menjual rusa tersebut kepada Ah Tong dan wang yang diperolehi digunakan untuk menampung perbelanjaan persekolahan Adit dan keluarganya. Ah Tong turut menawarkan bantuan untuk menumpangkan Adit ke sekolah pada setiap hari. Walaubagaimanapun, Adit terpaksa berkorban kerana harus bangun seawal empat pagi dan pulang dengan menumpang lori balak. Adit rela demi menuntut ilmu.

Pak Katan menasihati Adit supaya belajar bersungguh-sungguh. Adit terpaksa belajar bersama murid darjah satu walaupun usianya sudah menjangkau sepuluh tahun. Namun, Adit tidak berasa malu. Selama dua bulan Adit perlu bangun awal pagi dan pulang lewat petang kerana menumpang lori balak Pak Atan. Lama-kelamaan, kesihatan Adit semakin merosot akibat kepenatan kerana menempuh perjalanan sejauh empat jam untuk pergi dan pulang dari sekolah tetapi Adit tidak pernah bersunggut.

Pada suatu hari, Mak Tawi berasa berdebar-debar dan berasa seperti sesuatu yang buruk akan berlaku. Sehingga lewat senja, Adit masih tidak pulang ke rumah. Mak Tawi dan Pak Katan berasa sangat risau lalu meminta bantuan Tok Batin Ahboi dan orang kampung untuk mencari Adit. Setelah empat jam mencari, akhirnya mereka menjumpai Adit di dalam gaung dengan kecederaan parah pada kaki dan kepalanya manakala Ah Tong pula telah meninggal dunia.

Adit terlantar selama dua bulan di hospital dan akibat kemalangan itu, kakinya menjadi tempang. Namun, keadaannya itu tidak melemahkan semangat Adit untuk belajar. Akhirnya, Adit diterima untuk tinggal di asrama dan berkongsi katil dengan Akeh. Adit telah memperolehi 3A dalam peperiksaan UPSR dan ditawarkan ke sekolah berasrama penuh. Walaubagaimanapun, Adit menolak tawaran itu kerana memikirkan keadaan ibu dan bapanya. Adit dan Akeh telah membuktikan bahawa dengan mempunyai ilmu, hidup mereka akan lebih bermakna. Mereka tidak mahu lagi tertinggal dalam arus pembangunan.

Tamat


~wassalam~

Khamis, November 25, 2010

Peribahasa dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Assalamualaikum..

Peribahasa Melayu merupakan salah satu daripada jelmaan intelektualiti penutur bahasa Melayu. Ia diungkap menerusi bahasa yang indah-indah. Setiap ungkapan yang tercipta disusun dan dipadan dengan sedemikian rupa untuk membolehkan idea, rasa dan buah fikiran pengungkapnya dapat diserlahkan dengan lebih bermakna. Justeru itu, menerusi peribahasa ini, penutur bahasa Melayu berjaya mengungkap falsafah yang mendalam tentang aspek-aspek ketamadunan, pemikiran, ethos dan moral bangsa Melayu sejak sekian lama (Abdul Samad Idris, 1990:ix). Sebagai kesinambungannya, peribahasa terus dicipta dan berkembang dalam kalangan masyarakat pada hari ini sejajar dengan peredaran masa dan tuntutan persekitaran. Sehubungan itu, amat bertepatan sekali aspek peribahasa turut dimuatkan ke dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu.


Ciri dan Tujuan Penggunaan Peribahasa

Peribahasa dikatakan sebagai cerminan watak bangsa yang memilikinya. Di samping itu peribahasa juga penting dalam konteks penelitian warisan dan keterampilan pengguna bahasa. Ini kerana dalam peribahasa tersirat makna yang cukup mendalam dan tepat sehingga membolehkan komunikasi lisan atau tulisan menjadi lebih lancar dan berkesan. Kewujudan peribahasa adalah serentak dengan kewujudan sesebuah bangsa dan terus berkembang dalam proses manusia menyesuaikan dirinya dengan kehidupan sehariannya. Peribahasa telah digunakan untuk mengenal peradaban, di samping membuat ketentuan antara baik-buruk serta mencari ketetapan dalam tatacara hidup bermasyarakat.

Dalam menghasilkan peribahasa, tiga sumber utama digunakan oleh masyarakat penuturnya, iaitu yang pertama melalui pengalaman hidup khususnya dalam kalangan rakyat biasa, kedua melalui penaakulan para bijak pandai dan ketiga menerusi sumber yang didapati daripada kitab-kitab suci (Abdullah Hussain, 2003:vii). Hasilnya, peribahasa yang bermain di mulut orang Melayu bukan sahaja mendukung isi yang tepat dan kias ibarat yang tajam, malah ungkapan kalimat bahasa yang dihasilkan amat teratur, ringkas dan padat. Oleh itu, perlu disedari bahawa peribahasa dalam fungsinya menyampaikan pengajaran, teladan dan sindiran mempunyai ciri pelembut agar pendengar atau pembacanya tidak mudah terasa hati. Pada masa yang sama, unsur didaktik yang dibawa melalui peribahasa juga akan dapat memberi impak yang besar ke atas pemikiran serta perasaan mereka.

Peribahasa dikatakan sebagai susunan perkataan yang indah dengan maksud yang benar dan logik hasil daripada kecekapan berbahasa masyarakat Melayu. Peribahasa merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan, kata-kata hikmah dan bahasa kiasan (HSP Bahasa Melayu Tingkatan 4, 2003:xiv). Setiap satunya mempunyai sifat dan tujuan yang tertentu. Simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna yang berlainan daripada erti perkataan yang membentuknya. Biasanya simpulan bahasa berkaitan dengan beberapa perkara iaitu tubuh badan, contohnya telinga kuali dan hati batu, haiwan, contohnya, buaya darat dan cicak kubin, tumbuh-tumbuhan, contohnya durian runtuh dan diam ubi, dan kata nama khas seperti Mat Jenin dan Abu Nawas. Terdapat juga simpulan bahasa yang bersifat bebas, contohnya juling air dan serkap jarang. (Za’ba,1965:151-157).

Perumpamaan pula merupakan peribahasa yang menyatakan sesuatu maksud dengan diumpamakan kepada sesuatu yang lain sehingga menerbitkan makna dua lapis. Istilah perumpamaan digunakan kerana sesuatu maksud itu dikaitkan atau diumpamakan dengan satu perkara lain yang setanding Ini bermakna perkataan yang diungkapkan mempunyai makna yang lain daripada erti perkataan yang dipaparkan. Malah Za’ba (1965:173) dalam hal ini menyatakan bahawa peribahasa yang tidak mempunyai erti dua lapis tidaklah boleh dinamakan perumpamaan yang berasal daripada bahasa kiasan.Perumpamaan terdiri daripada dua jenis iaitu yang menggunakan perbandingan dan yang tidak menggunakan perbandingan. Contohnya adalah seperti berikut,


Menggunakan perbandingan:

Bagai abu di atas tunggul
Seperti lipas kudung


Tidak menggunakan perbandingan:
 
Menyelam sambil minum air
Telunjuk lurus kelingking berkait


Pepatah pula lebih menitikberatkan sifat ringkasnya di samping ketepatan perkataan dan kebenaran pengajaran yang diungkapkan di dalamnya. Dengan kata lain, setiap patah perkataan yang digunakan membawakan unsur pengajaran kepada pendengarnya walaupun ada juga pepatah yang tidak memuatkan sebarang pengajaran secara khusus. Ungkapan pepatah adalah berasal daripada patah-patah perkataan. Antara contoh pepatah Melayu adalah seperti berikut :

Indah khabar dari rupa
Alah membeli menang memakai


Sementara itu, bidalan merupakan peribahasa yang maknanya selapis sahaja, iaitu ungkapannya tidak membawa maksud yang lain daripada perkataan yang dipaparkan. Oleh itu, bidalan sering digunakan untuk memberikan teladan secara terus. Dalam hal ini bentuk bidalan terdiri daripada dua bahagian, iaitu menyatakan maksud yang hendak disampaikan, diikuti dengan unsur pematah atau pelengkap bagi maksud tersebut.Contohnya ialah seperti yang berikut :


Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan
Cicir dipungut hilang dicari


Perbilangan mempunyai ciri seakan-akan bidalan dan pepatah, tetapi berbeza dari segi bentuk susunannya, iaitu pernyataan perkataan secara berangkap yang terdiri daripada dua baris atau lebih. Perbilangan biasanya disebut satu persatu seperti kaedah membilang dan isinya seringkali diungkapkan sebagai peraturan dan undang-undang. Berikut merupakan beberapa contoh perbilangan.


Perbilangan dua baris :

Kecil jangan disangka anak,
Besar jangan disangka bapa.

Hidup dikandung adat,
Mati dikandung tanah.



Perbilangan dua baris :

Yang berat sama dipikul
Yang ringan sama dijinjing
Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama dicecah


Selain itu, terdapat pecahan yang lain, iaitu kiasan dan kata hikmat. Kiasan atau bunga bahasa secara ringkasnya ialah ungkapan yang menghuraikan sesuatu perkara dengan mengiaskan dengan perkara lain. Tujuannya adalah untuk menjelaskan dan menegaskan lagi sesuatu maksud yang cuba disampaikan. Di samping itu kiasan juga bertujuan memaniskan kata ketika menyebut perkara yang tidak digemari oleh pendengar atau pembaca (Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin, 2003: 270-271). Kiasan biasanya menggunakan isyarat perbandingan, contohnya,


Mukanya terserlah seperti bulan purnama
Hatinya hancur bagai kaca terhempas ke batu


dan adakalnya tanpa isarat perbandingan, contohnya, ayam tambatan, mandi kerbau dan orang rumah. Menurut Za’ba (1965), kiasan terpecah kepada beberapa bahagian kecil iaitu kiasan sandar, contohnya tidur ayam; kiasan terus, contohnya kutu embun; kiasan berangkap contohnya, sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula atau sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merasa; kiasan berbunga, kiasan pemanis kiasan melompat, tamsil, ibarat, kias ibarat dan tamsil ibarat. Sementara itu kata hikmah pula ialah perkataan bijak pandai yang mengandungi pengajaran dan pengertian yang tinggi. Ungkapan cendekiawan ini dijadikan nasihat, panduan dan pedoman hidup. Contohnya,


Bersatu teguh bercerai roboh
Pandu cermat jiwa selamat.


Dalam era globalisasi pada hari ini, penggunaan peribahasa amat penting dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Oleh itu, dalam era moden ini nilai dan norma masyarakat Melayu juga kadangkala tergugat akibat daripada penggunaan bahasa yang terlalu berterus terang dan terbuka. Namun begitu, dalam konteks masyarakat Melayu yang kaya dan mementingkan nilai norma serta adap sopan, sikap keterbukaan ini masih perlu dibataskan. Dalam kaitan ini, hati budi orang Melayu sebagai pemilik peribahasa ini akan dapat dikenali dengan jelas selaras dengan ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Bahasa Menunjukkan Bangsa”.Oleh itu, penggunaannya dalam wacana penulisan, khususnyan dalam bidang pengajaran, amat sesuai dilaksanakan kerana ia secara tidak langsung dapat mendidik generasi muda menjadi warga yang berkeperibadian mulia.

Dalam konteks kemasyarakatan, peribahasa mempunyai dua tujuan utama, iaitu menyembunyikan ungkapan atau kata-kata kasar dan penghuraian sistem adat Melayu. Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan budi bahasa yang lembut ketika berkomunikasi dengan pihak lain. Pada kebiasaanya, masyarakat Melayu tidak gemar berterus terang dalam menyatakan sesuatu yang tidak digemarinya. Contohnya, untuk meluahkan rasa marah terhadap perlakuan seseorang akan diungkapkan peribahasa yang berikut :


Siapa makan lada, dialah terasa pedasnya,
Lembu punya susu, sapi dapat nama


Menerusi peribahasa juga kata-kata kasar dapat dielakkan penggunaannya dan diganti dengan kata-kata yang lebih halus dan indah bagi menunjukkan rasa marah dan tidak puas hati. Contohnya dalam menyatakan badan seseorang yang terlalu kurus, maka digunakan peribahasa badannya melidi, sementara bagi menyatakan kebodohan seseorang diganti dengan ungkapan Pak Pandir.

Dalam membicarakan persoalan adat pula, peribahasa banyak mengungkapkan persoalan yang dihadapi oleh masyarakat dalam kehidupan sehari-hari. Dalam hal ini, perbilangan digunakan sebagai media untuk menyampaikan petunjuk dan pengajaran kepada tertentu khususnya golongan muda. Bagi masyarakat Melayu di Negeri Sembilan perbilangan masih digunakan dengan meluas dalam urusan adat dan interaksi sosial ahli masyarakatnya. Contohnya bagi menggambarkan ikatan kemesraan dan kasih sayang, digunakan perbilangan seperti berikut,


Merajuk pada yang kasih
Manja kepada yang sayang
Meminta kepada yang ada
Berkaul kepada yang keramat

(Za’ba, 1965:173)


Peribahasa Dalam Pendidikan

Dalam proses pengajaran-pembelajaran subjek Bahasa Melayu khasnya di sekolah, peribahasa mempunyai kedudukan yang sama penting dengan aspek lain. Hal ini kerana peribahasa berupaya untuk berkembang dan relevan dengan bahasa tersebut secara keseluruhannya. Dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Empat, dalam bahagian Sistem Bahasa, perkara v, halaman xiv dinyatakan bahawa:


“Peribahasa...perlu diajarkan dalam pendidikan Bahasa Melayu. Pemilihan peribahasa... hendaklah mengutamakan falsafah, keperibadian dan nilai murni masyarakat Malaysia,... dan hendaklah diajarkan dalam konteks" 


Dalam hal ini, jelas bahawa pembelajaran dan penghayatan peribahasa bertujuan meningkatkan keupayaan berbahasa dalam kalangan murid. Kemahiran berbahasa ini pula akan diteliti dalam konteks kebolehan pelajar menggunakan peribahasa dalam aktviti seharian dan penulisan. Hasil penulisan tentunya akan menjadi lebih indah dan bermutu sekiranya dimuatkan dengan peribahasa yang tepat dan sesuai.

Sehubungan itu, murid perlu diajar mengenai ciri dan penggunaan peribahasa secara mudah dan tepat. Namun begitu murid tidak seharusnya digalakkan menghafal sesuatu peribahasa seperti yang lazim dilakukan sebelum ini. Sebaliknya, mereka harus dirangsang agar menggunakan peribahasa dalam pelbagai situasi. Bagi mencapai tujuan ini, beberapa halangan perlu dihadapi semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Antaranya ialah kesukaran murid untuk mengingat sesuatu peribahasa ekoran sifatnya yang mempunyai pelbagai makna. Selain jumlah dan jenisnya yang banyak, sifat peribahasa yang hanya sesuai untuk keadaan tertentu telah menyebabkan minat dan kecenderungan untuk mempelajarinya menurun.

Selain itu, pengajaran berpusatkan guru turut menyebabkan pengajaran peribahasa tidak begitu berkesan. Guru memberikan penjelasan mengenai maksud peribahasa, manakala murid begitu pasif sebagai penerima maklumat. Akibatnya murid akan berusaha menghafal peribahasa yang diberikan dan tidak menghayatinya sehingga mereka menganggap peribahasa adalah sesuatu yang sukar untuk diperlajari (Koh Boh Boon, 1982:196-198). Justeru itu, sebagai jalan penyelesaian adalah dicadangkan agar pengajaran peribahasa di dalam bilik darjah menggunakan pendekatan kontekstual, iaitu guru bertindak sebagai fasilitator. Menerusi pendekatan ini, pengamatan perlu dilakukan mengenai hubungan antara perkara yang dibandingkan, diikuti dengan menyimpul makna yang simbolik dan terakhir dengan membuat penilaian terhadap ketepatan peribahasa berdasarkan konteks atau situasinya. Dengan cara ini, murid diajar menghayati peribahasa berdasarkan kontek dan situasi.

Dengan strategi pengajaran berdasarkan konteks ini, guru perlu bijak memilih peribahasa yang akan diajar. Guru dicadangkan agar memilih peribahasa yang mudah dan biasa digunakan dalam masyarakat. Guru juga harus mengetahui maksud dan pengertian serta penggunaan peribahasa yang diajar kepada murid. Berikut merupakan contoh pengajaran peribahasa mengunakan konteks situasi.

“...Remaja di kawasan perumahan itu sanggup menggadai nyawa untuk berlumba haram walaupun telah didiberi amaran beberapa kali oleh pihak polis”


Jelas sekali peribahasa menggadai nyawa di atas diungkapkan dalam bentuk yang tidak tepat. Peribahasa tersebut sebenarnya lebih sesuai bagi menyatakan perajurit negara yang berjuang mempertahankan tanah air atau pengorbanan yang suci dan bermakna. Justeru itu, peribahasa yang tepat bagi remaja yang berlumba haram seperti yang digambarkan dalam petikan tadi ialah menempah maut. Ini kerana, perbuatan yang dilakukan adalah tidak bermoral.


Penutup

Peribahasa ternyata begitu penting dalam pengajaran bahasa. Dengan adanya pengajaran dan pembelajaran peribahasa yang menarik dan berkesan, kemahiran berbahasa para murid akan dapat dipertingkatkan. Ini bukan sahaja dalam aktiviti penulisan ayat atau karangan, malah murid juga digalakkan untuk menggunakan bahasa kiasan ini dalam aktiviti lisan sama ada lisan formal atau sebaliknya. Lebih penting lagi, pengajaran peribahasa kepada generasi muda juga akan dapat memastikan warisan bangsa tidak terus dilupakan. Mereka juga boleh didedahkan dengan falsafah, pemikiran dan moral bangsa Melayu untuk dijadikan pedoman hidup. Secara langsung, hasrat negara menerusi Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek dan keperibadian akan mampu direalisasikan pada masa hadapan. 

Mari sama-sama berkongsi pendapat melalui komen membina anda.

~wassalam~

Jumaat, November 12, 2010

Bahasa Rojak

Assalamualaikum...


Bahasa rojak merupakan bahasa yang mempunyai istilah bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam satu ayat yang sama. Bahasa rojak dinamai dengan perkataan rojak kerana tindakan yang mencampur-adukkan bahasa boleh disamakan sepeti rojak yang bercampur-baur.

Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan 'orang kita' memang tidak dapat dinafikan lagi. Pada mulanya, kebanyakan mereka yang menggunakan bahasa rojak dalam perbualan merupakan golongan yang kurang fasih berbahasa Melayu, makanya, mereka menggunakan bahasa Inggeris bagi menggantikan kosa kata bahasa Melayu yang tidak mereka ketahui.




Tindakan menggunakan bahasa rojak dalam perbualan yang terlalu kerap boleh menjadikan seseorang individu melakukan perkara yang sama dalam penulisan. Hal ini dapat dibuktikan apabila terdapat penggunaan bahasa rojak dalam esei yang ditulis oleh pelajar dalam ujian mahupun peperiksaan. Kebiasaan menggunakan  jenis bahasa ini di rumah menjadikan para pelajar kurang mengambil berat tentang penggunaan bahasa Melayu  baku dalam penulisan mereka.

Menjadi tanggungjawab guru-guru untuk membetulkan kesilapan pelajar dalam berbahasa. Pada pendapat saya, penggunaan bahasa rojak dalam perbualan dibolehkan kerana hal ini dilihat semacam sudah menjadi satu gaya berbahasa yang baru dalam kalangan orang melayu dan penggunaannya mula diterima ramai apabila beberapa kosa kata bahasa rojak dan bahasa pasar sudahpun dijadikan sebagai satu entri dalam Kamus Dewan. 

Namun begitu, para pelajar dinasihatkan supaya jangan terlalu kerap mencampur-adukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dalam perbualan dan JANGAN sekali-kali menggunakan bahasa rojak dalam penulisan esei bagi tujuan peperiksaan. Hal ini dapat direalisasikan dengan pemerhatian guru-guru di sekolah. teguran ibu bapa di rumah serta paparan kempen berbahasa yang kerap di televisyen.

Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan rakyat Malaysia memang sudah terlalu ketara. Walaubagaimanapun, tindakan ini masih boleh dibendung dengan mengurangkan kadar penggunaannya dalam perbualan harian.

Mari sama-sama berkongsi pendapat dengan saya melalui komen-komen membina anda.


~wassalam~

Nota kaki : Antara penulis blog yang saya kagumi ialah mama murai.  Beliau memperjuangkan bahasa dengan gaya tersendiri.

Golongan Kata Bahasa Melayu

Assalamualaikum..


Penggolongan kata ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi dengan anggota lain atau golongan yang sama.

Dalam Bahasa Melayu ada empat bentuk golongan kata :
- Kata Nama
- Kata Kerja
- Kata Adjektif / Sifat
- Kata Tugas


Kata Nama

Kata nama menunjukkan nama benda, nama orang, nama tempat dan nama perkara. Kata nama ialah sejumlah perkataan yang boleh menjadi unsur inti bagi binaan frasa dan lazimnya perkataan demikian menamakan orang, tempat, benda atau konsep.

Kata nama boleh dikelompokkan kepada tiga jenis :

a) Kata Nama Khas

Kata nama yang merujuk kepada nama sesuatu benda yang khusus dan ejaannya berpangkalkan huruf besar. Ia terbahagi kepada tiga :

i) Kata Nama Khas Hidup Manusia – contoh : Lina, Ahmad, Tun Abdul Razak

ii) Kata Nama Khas Hidup Bukan Manusia – contoh : Tompok, Si Belang, Jalak, Jibrail

iii) Kata Nama Khas Tidak Hidup – Balakong, Proton Saga, Parit Buntar, Pasar Seni, Planet Marikh.


b) Kata Nama Am

Kata nama yang merujuk kepada benda-benda atau perkara yang umum sifatnya. Ia terbahagi kepada dua : 

i) Kata Nama Am Abstrak – jenis kata nama yang bukan berkonsepkan kebendaan, contohnya roh, angin, kedamaian, kemerdekaan, demokrasi.

ii) Kata Nama Am Konkrit – kata nama yang berkonsepkan kebendaan, contohnya sungai, isteri, bapa, kambing.


c) Kata Ganti Nama

Kata ganti nama terbahagi kepada :

i) Kata ganti nama tunjuk -

- Kata nama yang berfungsi merujuk kepada sesuatu perkara atau benda
- Terdapat dua jenis  : 1. itu ( merujuk kepada benda yang jauh) 
                                  2.  ini (merujuk kepada benda yang dekat)

ii) Kata ganti nama diri – 

- Kata ganti nama yang menjadi pengganti nama sesuatu benda, perkara atau manusia.
- Kata ganti nama diri pula boleh dibahagikan kepada:

1. Kata ganti nama diri tanya – jenis kata yang berfingsi menanyakan hal benda, perkara atau manusia. Terdapat tiga bentuk :
- Siapa :  merujuk kepada orang
- Apa :  merujuk kepada benda atau perkara
- Mana : merujuk kepada benda

2. Kata ganti nama diri orang – jenis ganti nama yang merujuk kepada manusia yang terdiri daripada tiga kategori :
- orang pertama : saya, aku, beta, patik, kita
- orang kedua : saudara, kamu, awak, engkau, anda
- orang ketiga : ia, dia, beliau, mereka, nya.


Kata Kerja

Kata kerja berperanan untuk menunjukan sesuatu perbuatan atau sesuatu keadaan. Kata kerja dapat dibahagikan seperti berikut:

1) Kata Kerja Transitif : a) Kata Kerja Transitif Aktif
                                     b) Kata Kerja Transitif Pasif 

2) Kata Kerja Tak Transiti : a) Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap
                                           b) Kata Kerja Tak Transitif Tak Berpelengkap

1. Kata kerja transitif 

Kata kerja yang mesti diikuti oleh objek untuk melengkapkan maksud. Objek yang mengikuti kata kerja transitif ialah frasa nama. 

Contoh : - Suhaina menjahit baju kurung untuk adiknya.
              - Emak memotong buah tembikai yang baru dibelinya.
a. Kata kerja transitif aktif 

- kata kerja yang berfungsi dalam ayat aktif dan menerima awalan ‘men’ dengan atau tanpa akhiran ‘kan’ atau ‘i’. 
- Contoh : - Mastura mencuci pakaian di dalam bilik air

b. Kata kerja transitif pasif 

- kata kerja yang berfungsi dalam ayat pasif. Kata kerja yang terhasil dari proses transformasi ayat aktif menjadi ayat pasif akan mewujudkan kata kerja transitif pasif. 
- Contoh : - Pakaian dicuci oleh Mastura.

- Terdapat beberapa cara yang dapat membantu untuk mengenali kata kerja transitif :
  • Mengemukakan pertanyaan ‘apa’ selepas sesuatu kata kerja, sekiranya sesuatu jawapan boleh diperolehi, maka kata kerja tersebut adalah kata kerja transitif. Contoh : mengecat apa ? - mengecat rumah
  • Apabila sesuatu kata kerja diberi imbuhan terlebih dahulu, ini bermakna pada asalnya perkataan ini bukannya kata kerja. Contohnya perkataaan ‘mengecat’ berasal daripada kata nama ‘cat’ selepas menerima imbuhan ‘menge’.
  • Setiap ayat yang menggunakan kata kerja transitif mesti mengandungi dua kata nama, ini kerana kata kerja transitif mesti dilakukan oleh seseorang ke atas orang atau benda lain. 
         Contoh : Sulaiman menembak burung gagak. 
                        - Sulaiman : kata nama pelaku
                       - Burung gagak : kata nama objek
                       - menembak : kata kerja transitif
  • Apabila membicarakan mengenai kata kerja transitif, maka perlu diketahui tentang konsep objek tepat dan objek sipi. Dalam sesuatu ayat yang mempunyai kata kerja, ia boleh diikuti oleh dua ayat yang kedua-duanya boleh menjadi objek. 
         Contoh : Abu membelikan kekasihnya seutas rantai emas. 
                       - membelikan : kata kerja transitif
                      - rantai emas : objek tepat
                     - kekasihnya : objek sipi

  • Dalam ayat itu, objek tepat dapat dikenal pasti dengan hanya bertanya ‘apa’ kepada kata kerja yang hadir dalam ayat itu.

2. Kata kerja tak transitif 

Kata kerja yang tidak memerlukan objek atau pelengkap selepasnya. 

a.  Kata kerja tak transitif tak berpelengkap

- Kata kerja tak transitif tak berpelengkap adalah bentuk kata kerja yang paling ringkas, iaitu boleh berdiri sendiri dengan tanpa diikuti oleh pelengkap atau objek. 
- Kata kerja jenis ini boleh terdiri daripada kata kerja dasar (tanpa imbuhan) dan dengan imbuhan awalan. 
- Contoh : terbang, tidur, berlari, berenang.
  • Kata kerja tak transitif dapat dikenali dengan bertanya ‘apa’ selepas kata kerja itu. Sekiranya tidak ada jawapan, maka kata kerja itu adalah kata kerja tak transitif kerana ia tidak ada objek. 
         Contoh : Burung terbang - terbang apa ? (tiada jawapan)
                       Adik berlari - berlari apa ? (tiada jawapan)

b. Kata kerja transitif berpelengkap 

- kata kerja ini perlu diikuti oleh pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. 
- Terdapat beberapa jenis pelengkap :
  • Waktu - contoh : Ali duduk sejak tadi.
  • Tempat - contoh : Kakak duduk di atas kerusi
  • Cara - contoh : Ali duduk bersimpuh
  • Sebab - contoh : Dia duduk kerana letih.
- Pelengkap ialah unsur ayat yang berfungsi menyempurnakan maksud ayat. Jikalau pelengkap dalam ayat tidak ada, ayat itu menjadi tidak gramatis. 
- Contoh : Sarah ingin menjadi peragawati
               Amri bertambah sayang kepada isterinya

- Jika tanpa pelengkap : Sarah ingin menjadi …(menjadi apa?)
                                     Amri bertambah…(bertambah apa?)

- Pelengkap hendaklah dibezakan dengan objek. Pelengkap hadir selepas kata kerja tak transitif, manakala objek pula hadir selepas kata kerja transitif dengan tujuan melengkap maksud. Perlu diingat bahawa kata kerja transitif sahaja dapat dipasifkan.

- Bagi mengenali sesuatu perkataan itu kata kerja atau tidak, terdapat beberapa cara :
  •  Kata kerja dapat digandingkan dengan kata bantu. 
           Contoh : minum - sudah minum
       sebaliknya : baju - sudah baju (tidak memberi makna)

- Kaedah ini amat perlu apabila hendakl membezakan beberapa kata kerja yang kelihatan seakan-seakan kata sifat.

  • Sesuatu perkataan itu diberi imbuhan tertentu seperti ‘ber’, ‘me’, ‘kan’,’i’ dan ‘di’

Kata Sifat / Adjektif

Kata sifat ialah perkataan yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Ia boleh dikenal pasti dan dibezakan dari kata nama atau kata kerja dengan cirinya yang boleh didahului atau diikuti oleh kata penguat. Kata sifat menceritakan sifat benda (kata nama) dan sifat perbuatan (kata kerja).

Kata sifat alam Bahasa Melayu dibahagikan kepada sembilan berdasarkan kriteria makna.

1) Kata Sifat Keadaan
- memberi makna keadaan kata nama yang diterangkan. Contoh : orang jahat, budak pintar

2) Kata Sifat Warna
- membawa makna warna untuk menerangkan kata nama. Contoh : langit biru, bibir merah.

3) Kata Sifat Ukuran
- menyatakan ukuran kata nama. Contoh : perahu panjang, pokok renek

4) Kata Sifat Bentuk
- menerangkan mengenai bentuk kata nama. Contoh : jalan bengkok, mata bulat

5) Kata Sifat Jarak
- menerangkan kata nama dari segi ruang. Contoh : jalan pintas, kawan jauh.

6) Kata Sifat Waktu
- memberi penjelasan konsep masa sebagai unsur keterangan. Contoh : makanan segera, rumah baru

7) Kata Sifat Cara
- membawa makna keadaan kelakuan atau ragam untuk menerangkan kata nama. Contoh : air deras, hujan lebat

8) Kata Sifat Perasaan
- memberi pengertian kepada konsep perasaan yang terkandung dalam sesuatu kata nama. Contoh : suka akan, penuh ragu

9) Kata Sifat Pancaindera
- terdiri daripada yang memberi makna rasa, pandang, dengar, bau dan sentuh. 
Contoh : makanan lazat (konsep rasa)
              lelaki tampan (konsep pandang)
              suara merdu (konsep dengar)
              minyak wangi (konsep bau)
              kulit licin (konsep sentuh)

Terdapat beberapa cara yang boleh membantu untuk mengenal pasti kata sifat :
  • Kata sifat boleh berganding dengan kata penguat seperti amat dan paling, sama ada diletakkan di hadapan kata sifat atau diakhirnya.
  • Kata sifat diberi imbuhan ‘ter’ dan ‘se’.

Kata Tugas

Kata tugas mempunyai tugas yang mustahak di dalam ayat. Kata tugas tidak mempunyai makna tetapi ia digunakan dalam ayat dan frasa untuk menjalankan sesuatu tugas tatabahasa. Fungsi kata tugas ialah menjadi penghubung, penentu, penguat, pedepan, pembantu, penegas, penafi, pembenar, pemeri, penanya dan penyeru.

Ada 16 jenis kata tugas yang boleh dikelompokkan berdasarkan kriteria kedudukan dan fungsinya dalam binaan ayat, iaitu :

- kata hubung - kata penegas
- kata tanya - kata nafi
- kata seru - kata pemeri
- kata perintah - kata sendi nama
- kata pembenar - kata arah
- kata pangkal ayat - kata bilangan
- kata bantu - kata penekan
- kata penguat - kata pembenda

Untuk memudahkan penghuraian, jenis kata ini boleh dibahagikan kepada empat kelompok:

1) Kata Penyambung Ayat
  • terdiri daripada satu jenis kata tugas sahaja, iaitu kata hubung.
  • Ia adalah sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih menjadi satu ayat yang berlapis yang dikenali sebagai ayat majmuk.
  • Contoh : dan, atau, tetapi, serta, sebaliknya, serana, supaya, walaupun.

2) Kata Praklausa 

  •  sejumlah perkataan yang terletak perkataan yang terletak dihadapan klausa iaitu yang terdiri daripada :
- kata seru : berfungsi melahirkan pelbagai bentuk ayat yang menunjukkan perasaan. Contoh : aduh, cis, aduhai, amboi.

- kata tanya : untuk menanyakan sesuatu atau menyoal sesuatu. Contoh : mengapa , berapa, bila, bagaimana.

- kata perintah : perkataan yang bertujuan menimbulkan sesuatu tindak balas. Ia diucapkan dengan nada perintah, arahan, larangan, silaan atau permintaan. Contoh : jangan, usah, sila, jemput, minta, tolong.

- kata pembenar : perkataan yang mengesahkan sesuatu pertanyaan. Contoh : ya, benar, betul,

- kata pangkal ayat : perkataan yang hadir di bahagian hadapan ayat yang menjadi penanda kesinambungan ayat dalam wacana. Contoh : hatta, maka, syahdan, adapun, alkisah.


3) Kata Prafrasa
  •  sejumlah perkataan yang terletak di hadapan frasa, iaitu sama ada frasa nama, frasa kerja atau frasa adjektif.
  • Ia mendukung tugas-tugas maksud yang terkandung dalam ayat seperti membantu, menguatkan, menegaskan, menafikan, menyendikan, menunjukkanarah dan membilang.
  • terdapat 8 jenis kata prafrasa :
- kata bantu : jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama dengan menimbulkanmakna-makna tambahan dari segi aspek waktu atau ragam. Kata bantu boleh dibahagikan kepada dua kumpulan :

a. kata bantu aspek yang bertugas menerangkan sama ada perubatan itu sudah dilakukan, sedang dilakukan atau akan dilakukan. Contoh : telah, sudah, pernah, sedang, masih, akan, belum.

b. Kata bantu ragam bertugas menerangkan kemahuan atau perasaan yang dirasai oleh orang yang melakukan perbuatan tersebut. Contoh : hendak, mahu, hrus, mesti, boleh, dapat.

- kata penguat : berfungsi menguat maksud kata adjektif. Contoh : terlalu, paling, sekali, benar, sungguh, amat.

- kata penegas : juga dikenali sebagai kata partikel. Ia adalah sejumlah perkataan yang memberi penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Ada dua jenis kata penegas :

a. menegaskan hanya frasa predikat atau bahagian-bahagiannya. Contoh : -kah, -tah, -lah.
b. menegaskan kedua-dua bahagian ayat iaitu frasa nama sebagai subjek atau bahagiannya atau frasa predikat atau bahagian-bahagiannya. Contoh : juga, jua, sahaja, pun, lagi, memang.

- kata nafi : perkataan yang menjadi unsur nafi frasa frasa predikat iaitu frasa nama, frasa kerja,frasa adjektif dan frasa sendi nama. Ada dua bentuk kata nafi : bukan dan tidak.

- kata pemeri : ia adalah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Contoh : adalah, merupakan, ialah.

- kata sendi nama : kata yang terletak di hadapan frasa sendi nama. Kata sendi nama sentiasa hadir di hadapan perkataan yang diterangkan olehnya. Contoh : di, ke, dari, demi, tentang, seperti, terhadap.

- kata arah : sejumlah perkataaan yang hadir sebelum frasa nama, lazimnya hadir sesudah perkataan sendi nama untuk menunjukkan hala atau jurusan. Contoh : atas, bawah, tepi, antara.

- kata bilangan : sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah pada frasa nama. Contoh : dua puluh, segala, semua, para,banyak, masing-masing.


4) Kata Pasca
  • ia adalah satu bentuk kata yang hadir selepas perkataan. Bentuk itu ialah ‘-nya’ , yang berfungsi sebagai penekan dan pembenda.
  • Kata penekan ialah satu bentuk yang memberi penegasan kepada kata yang bergabung dengannya. Contoh : Lapisan ozon sesungguhnya semakin menipis.
  •  Kata pembenda pula ialah bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan dari kata nama sebagai kata nama. Contoh : Lajunya 100 km sejam.

jika ada sebarang kemusykilan, boleh tinggalkan komen..mungkin saya boleh terangkan dengan lebih terperinci..

~wassalam~

Isnin, Oktober 11, 2010

Latar Belakang Masyarakat Malaysia..

Assalamualaikum..


Masyarakat Malaysia hari ini terdiri dari berbagai kaum. Mereka ialah orang-orang Melayu dan Bumiputra lain, China, India dan lain-lain. Kelebihan yang menjadikan Malaysia menarik dan mempunyai budaya yang tersendiri. Terdapat berjenis-jenis bahasa, agama, muzik, tarian, lagu, pakaian dan makanan. Namun, perbezaan antara kaum ini telah menimbulkan beberapa masalah pada masa dahulu.  Masalah ini timbul apabila sesuatu kaum itu tidak mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kaum yang lain. Ada banyak cara untuk membentuk satu masyarakat Malaysia. Antaranya ialah mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kaum-kaum lain. Sungguhpun masalah-masalah ini tidak boleh diatasi dengan setakat membaca mengenai kaum-kaum ini sahaja, namun, ini boleh membantu dan membolehkan kita memahami dengan lebih baik mengenai masyarakat yang kita anggotai.


Masyarakat Melayu

Kaum yang terbesar di Malaysia ialah orang-orang Melayu. Orang Melayu yang awal tinggal di sepanjang sungai dalam kumpulan yang agak teratur. Sejak lebih kurang 2000 tahun dahulu mereka telah berdagang dengan pedagang-pedagang China dan India. Perdagangan ini mengakibatkan munculnya kerajaan pantai yang berpengaruhkan India seperti Lembah Bujang, Gangga Negara dan Tan-tan (Treng-ganu). Lama-kelamaan kerajaan-kerajaan ini merosot kerana kebangkitan pusat-pusat perdagangan yang lebih kuat seperti Srivijaya dan Majapahit.

Lebih kurang 500 tahun dahulu Melaka telah menjadi pelabuhan yang terpenting di Asia Tenggara. Kerajaan Melaka telah menakluk seluruh Tanah Melayu. Empayar Melaka telah menyatukan Semenanjung Tanah Melayu. Agama Islam telah menjadi panduan bagi orang-orang di Melaka dan menjadi agama bagi orang-orang Melayu. Hampir semua penduduk-penduduk Semenanjung terdiri dari orang-orang Melayu. Selewat tahun 1800, 90 peratus daripada penduduk-penduduk Semenanjung Tanah Melayu adalah terdiri daripada orang Melayu. Walaubagaimanapun, pada masa itu telah pun berlaku imigrasi penduduk-penduduk dari negara-negara Asia Tenggara yang lain ke Tanah Melayu.


Masyarakat Cina

Malaysia terletak di laluan perdagangan di antara India dan China. Perhubungan antara orang-orang Melayu, China dan India telah bermula sejak kira-kira 2000 tahun dahulu. Kerajaan-kerajaan Melayu di sepanjang pantai menjalankan kegiatan perdagangan  dengan orang-orang China dan India. Hubungan antara orang-orang Melayu dan China menjadi lebih erat pada era Kesultanan Melayu Melaka. Perkembangan ini berlaku dalam kurun yang ke-l5. Terdapat pertemuan di antara pemerintah-pemerintah Melaka dan Maharaja China. Dalam tahun 1411, Parameswara, pemerintah Melaka yang pertama telah melawat Maharaja China. Baginda pergi dengan isterinya, anak dan lebih daripada 500 orang pengikutnya. Kedatangan mereka semua disambut dengan baik. Kedua-dua pemerintah itu bertukar-tukar cenderamata.

Maharaja China sangat tertarik dengan kemajuan dan kebesaran Melaka dan pemerintah-pemerintahnya. Baginda menghantar puterinya yang cantik bernama Hang Li Po, untuk mengahwini Sultan Mansur Shah. Puteri Hang Li Po datang ke Melaka dengan kira-kira 500 orang pengikut. Semua pengikutnya menetap di Melaka di sebuah tempat yang sekarang ini digelar Bukit China. Keturunan mereka digelar Baba dan Nyonya.


Masyarakat India

Kita telah pun membaca mengenai asal-usul kaum China di Malaysia. Orang-orang India juga adalah kaum yang besar di Malaysia. Pada masa sekarang 10 peratus daripada penduduk-penduduk Malaysia terdiri dari orang-orang India. Kuil, muzik, panggung wayang, pakaian dan makanan India telah menjadi sebahagian dari kehidupan Malaysia. Orang-orang India membuat berbagai jenis kerja. Ada yang menjadi doktor, peguam, jurutera, guru, kerani, buruh dalam perkhidmatan awam dan juga penoreh getah di ladang-ladang getah. Ramai daripada orang-orang India di sini bekerja di ladang-ladang getah.

Ramai orang India yang tinggal di sini pada hari ini adalah dari keturunan orang-orang India yang datang ke Malaysia pada kurun yang ke-20. Perhubungan di antara orang-orang India dan Malaysia telah terjalin sejak beberapa kurun dahulu. Beberapa kumpulan kecil orang-orang India telah tinggal di sini sejak beratus-ratus tahun dahulu.

Penjajahan telah menempatkan jenis pekerjaan bagi setiap kaum. Hal ini telah menyebabkan permusuhan antara kaum terjadi di Malaysia pada 13 Mei 1969.


sambungan untuk sejarah setiap kaum di Malaysia akan saya sambung dalam entri akan datang..

sekian..

~wassalam~

Ahad, Oktober 10, 2010

Tulisan Pertama

Assalamualaikum..


Pelik ya,
duit RM50 kelihatan begitu besar bila di bawa ke kotak derma masjid,
tapi begitu kecil bila kita bawa ke supermarket.

Pelik ya,
30 minit terasa terlalu lama utk berzikir
tp betapa pendeknya waktu utk satu cerita komedi.

Pelik ya,
betapa lamanya 1 jam berada di masjid,
tp betapa cepatnya 2 jam berlalu saat menonton wayang di panggung.

Pelik ya,
tak sampai 30 minit dengar khutbah Jumaat,
dah rasa jemu
tp tak pernah puas dengar
lagu kesukaan kita walaupun dah ulang dua tiga
kaset berkali-kali.

Pelik ya,
dengar iklan jualan murah dlm tv,
rasa tak sabar-sabar nak pergi beli-belah,
tp dengar laungan azan tak sabar-sabar nak tukar channel
lain.

Pelik ya,
pasar mlm jauh sanggup naik kereta pergi,
tp masjid dekat rmh rasa berat kaki pulak.

Pelik ya,
susah sungguh merangkai kata utk dipanjatkan saat berdoa atau solat,
tp betapa mudahnya cari bhn bersembang dgn kawan-kawan.

Pelik ya,
betapa seruan dan teriakan yg berpanjangan waktu pertandingan bola sepak jd kegemaran kita,
tp betapa bosannya bila imam solat Terawih bln Ramadan bacaannya lama dan panjang.

Pelik ya,
rasa susah sungguh utk habiskan al-Quran walau satu halaman,
tp majalah hiburan dan novel best-seller 100 halaman pun habis dilahap.

Pelik ya,
ramai org berebut paling depan utk menonton bola atau konsert,
tetapi berebut cari saf paling belakang bila solat Jumaat supaya boleh cepat keluar.

Pelik ya,
susahnya org mengajak menyebarkan dakwah,
tapi mudahnya org menyertai dan menyebar gossip.

Pelik ya,
kita begitu percaya pada yg dikatakan di email yg layang di internet,
tapi sering mempertikaikan apa yang dikatakan al-Quran.

Pelik ya,
kita boleh mengirimkan ribuan jenaka dan surat berantai di email,
tapi bila mengirim yg berkaitan dgn ibadah berfikir dua tiga kali.

Pelik tak kita..?
Tepuk dada tanyalah hati dan iman.
Renungkanlah..


sekian..

~wassalam~