Jangan biarkan perahu hanyut tak berpenghuni nanti hanyutnya tidak singgah ke pelabuhan

Selasa, Mei 03, 2011

Ulasan Komsas : Novel Tingkatan 1 (Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan)

Asaalamualaikum..


Sinopsis Novel :

Novel Sukar Membawa Tuah mengisahkan kehidupan Adit sebagai seorang anak Orang Asli yang mundur dari segi pelajaran. Kampung Bakai di kaki Bukit Lokan merupakan penempatan masyarakat Orang Asli suku Jahut. Terdapat kira-kira 25 keluarga yang menghuni penempatan ini. Masyarakat Orang di sini masih berpegang kuat pada kepercayaan tradisi dan kurang berhubung dengan dunia luar. Mereka hidup dalam kemiskinan dan rumah yang didiami hanyalah bangsal yang sempit dan daif, sekadar untuk berteduh siang dan malam.

Pak Katan merupakan ketua keluarga yang masih bergantung hidup pada hasil hutan untuk menyara keluarganya. Awal-awal pagi, Pak Katan telah bersedia untuk ke hutan bersama-sama anaknya, Adit. Isterinya, Mak Tawi menyediakan ubi kayu rebus dan air kopi pahit sebagai sarapan dan bekalan mereka ke hutan. Sebelum ke hutan, Adit pergi ke sungai dahulu untuk melihat belat yang dipasang untuk menangkap ikan.

Dalam perjalanan ke hutan, Adit cuba menyatakan hasratnya untu bersekolah demi membela nasib keluarga dan masyarakat Orang Asli. Adit juga menyatakan hasil hutan semakin berkurangan akibat pembalakan. Adit teringat akan cerita kawannya, Akeh yang menyatakan keseronokan bersekolah dan timbul keinginan di hati Adit untuk turut bersekolah. Namun begitu, hasrat Adit ditentang oleh ayahnya dengan alasan Adit perlu meneruskan tradisi keluarga dengan mencari hasil hutan, menyebabkan Adit berasa kecewa dan berdiam diri semasa berada di rumah.

Perubahan Adit disedari oleh ibu bapanya. Akhirnya Pak Katan memahami hasrat anaknya untuk bersekolah lalu pergi ke pekan untuk mendaftarkan persekolahan Adit. Adit diterima oleh pihak sekolah tetapi malangnya Adit tidak dapat tinggal di asrama kerana tiada kekosongan. Adit berasa kecewa lalu pergi ke tebing sungai. Di situ, dia berjumpa dengan Tijah. Tijah berjaya memujuk Adit supaya bersabar.

Suatu malam, ketika hujan lebat, Pak Katan menjumpai seekor rusa dara yang cedera berteduh di bawah bangsal mereka. Pak Katan menjual rusa tersebut kepada Ah Tong dan wang yang diperolehi digunakan untuk menampung perbelanjaan persekolahan Adit dan keluarganya. Ah Tong turut menawarkan bantuan untuk menumpangkan Adit ke sekolah pada setiap hari. Walaubagaimanapun, Adit terpaksa berkorban kerana harus bangun seawal empat pagi dan pulang dengan menumpang lori balak. Adit rela demi menuntut ilmu.

Pak Katan menasihati Adit supaya belajar bersungguh-sungguh. Adit terpaksa belajar bersama murid darjah satu walaupun usianya sudah menjangkau sepuluh tahun. Namun, Adit tidak berasa malu. Selama dua bulan Adit perlu bangun awal pagi dan pulang lewat petang kerana menumpang lori balak Pak Atan. Lama-kelamaan, kesihatan Adit semakin merosot akibat kepenatan kerana menempuh perjalanan sejauh empat jam untuk pergi dan pulang dari sekolah tetapi Adit tidak pernah bersunggut.

Pada suatu hari, Mak Tawi berasa berdebar-debar dan berasa seperti sesuatu yang buruk akan berlaku. Sehingga lewat senja, Adit masih tidak pulang ke rumah. Mak Tawi dan Pak Katan berasa sangat risau lalu meminta bantuan Tok Batin Ahboi dan orang kampung untuk mencari Adit. Setelah empat jam mencari, akhirnya mereka menjumpai Adit di dalam gaung dengan kecederaan parah pada kaki dan kepalanya manakala Ah Tong pula telah meninggal dunia.

Adit terlantar selama dua bulan di hospital dan akibat kemalangan itu, kakinya menjadi tempang. Namun, keadaannya itu tidak melemahkan semangat Adit untuk belajar. Akhirnya, Adit diterima untuk tinggal di asrama dan berkongsi katil dengan Akeh. Adit telah memperolehi 3A dalam peperiksaan UPSR dan ditawarkan ke sekolah berasrama penuh. Walaubagaimanapun, Adit menolak tawaran itu kerana memikirkan keadaan ibu dan bapanya. Adit dan Akeh telah membuktikan bahawa dengan mempunyai ilmu, hidup mereka akan lebih bermakna. Mereka tidak mahu lagi tertinggal dalam arus pembangunan.

Tamat


~wassalam~

0 ulasan: