Assalamualaikum..
Masyarakat Malaysia hari ini terdiri dari berbagai kaum. Mereka ialah orang-orang Melayu dan Bumiputra lain, China, India dan lain-lain. Kelebihan yang menjadikan Malaysia menarik dan mempunyai budaya yang tersendiri. Terdapat berjenis-jenis bahasa, agama, muzik, tarian, lagu, pakaian dan makanan. Namun, perbezaan antara kaum ini telah menimbulkan beberapa masalah pada masa dahulu. Masalah ini timbul apabila sesuatu kaum itu tidak mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kaum yang lain. Ada banyak cara untuk membentuk satu masyarakat Malaysia. Antaranya ialah mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kaum-kaum lain. Sungguhpun masalah-masalah ini tidak boleh diatasi dengan setakat membaca mengenai kaum-kaum ini sahaja, namun, ini boleh membantu dan membolehkan kita memahami dengan lebih baik mengenai masyarakat yang kita anggotai.
Masyarakat Melayu
Kaum yang terbesar di Malaysia ialah orang-orang Melayu. Orang Melayu yang awal tinggal di sepanjang sungai dalam kumpulan yang agak teratur. Sejak lebih kurang 2000 tahun dahulu mereka telah berdagang dengan pedagang-pedagang China dan India. Perdagangan ini mengakibatkan munculnya kerajaan pantai yang berpengaruhkan India seperti Lembah Bujang, Gangga Negara dan Tan-tan (Treng-ganu). Lama-kelamaan kerajaan-kerajaan ini merosot kerana kebangkitan pusat-pusat perdagangan yang lebih kuat seperti Srivijaya dan Majapahit.
Lebih kurang 500 tahun dahulu Melaka telah menjadi pelabuhan yang terpenting di Asia Tenggara. Kerajaan Melaka telah menakluk seluruh Tanah Melayu. Empayar Melaka telah menyatukan Semenanjung Tanah Melayu. Agama Islam telah menjadi panduan bagi orang-orang di Melaka dan menjadi agama bagi orang-orang Melayu. Hampir semua penduduk-penduduk Semenanjung terdiri dari orang-orang Melayu. Selewat tahun 1800, 90 peratus daripada penduduk-penduduk Semenanjung Tanah Melayu adalah terdiri daripada orang Melayu. Walaubagaimanapun, pada masa itu telah pun berlaku imigrasi penduduk-penduduk dari negara-negara Asia Tenggara yang lain ke Tanah Melayu.
Masyarakat Cina
Malaysia terletak di laluan perdagangan di antara India dan China. Perhubungan antara orang-orang Melayu, China dan India telah bermula sejak kira-kira 2000 tahun dahulu. Kerajaan-kerajaan Melayu di sepanjang pantai menjalankan kegiatan perdagangan dengan orang-orang China dan India. Hubungan antara orang-orang Melayu dan China menjadi lebih erat pada era Kesultanan Melayu Melaka. Perkembangan ini berlaku dalam kurun yang ke-l5. Terdapat pertemuan di antara pemerintah-pemerintah Melaka dan Maharaja China. Dalam tahun 1411, Parameswara, pemerintah Melaka yang pertama telah melawat Maharaja China. Baginda pergi dengan isterinya, anak dan lebih daripada 500 orang pengikutnya. Kedatangan mereka semua disambut dengan baik. Kedua-dua pemerintah itu bertukar-tukar cenderamata.
Maharaja China sangat tertarik dengan kemajuan dan kebesaran Melaka dan pemerintah-pemerintahnya. Baginda menghantar puterinya yang cantik bernama Hang Li Po, untuk mengahwini Sultan Mansur Shah. Puteri Hang Li Po datang ke Melaka dengan kira-kira 500 orang pengikut. Semua pengikutnya menetap di Melaka di sebuah tempat yang sekarang ini digelar Bukit China. Keturunan mereka digelar Baba dan Nyonya.
Masyarakat India
Kita telah pun membaca mengenai asal-usul kaum China di Malaysia. Orang-orang India juga adalah kaum yang besar di Malaysia. Pada masa sekarang 10 peratus daripada penduduk-penduduk Malaysia terdiri dari orang-orang India. Kuil, muzik, panggung wayang, pakaian dan makanan India telah menjadi sebahagian dari kehidupan Malaysia. Orang-orang India membuat berbagai jenis kerja. Ada yang menjadi doktor, peguam, jurutera, guru, kerani, buruh dalam perkhidmatan awam dan juga penoreh getah di ladang-ladang getah. Ramai daripada orang-orang India di sini bekerja di ladang-ladang getah.
Ramai orang India yang tinggal di sini pada hari ini adalah dari keturunan orang-orang India yang datang ke Malaysia pada kurun yang ke-20. Perhubungan di antara orang-orang India dan Malaysia telah terjalin sejak beberapa kurun dahulu. Beberapa kumpulan kecil orang-orang India telah tinggal di sini sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Penjajahan telah menempatkan jenis pekerjaan bagi setiap kaum. Hal ini telah menyebabkan permusuhan antara kaum terjadi di Malaysia pada 13 Mei 1969.
sambungan untuk sejarah setiap kaum di Malaysia akan saya sambung dalam entri akan datang..
sekian..
~wassalam~